Mengenali Tokoh Utama Darussyifa' - TG Dr Haron Din

Ayahanda Tuan Guru ialah seorang perawat yang melibatkan diri dengan dunia rawatan dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, hadis dan doa-doa. Pengalaman yang dilalui oleh orang ayahandanya ketika mengubat, sama ada di rumah atau ketika dijemput mengubati pesakit di tengah malam, juga kunjungan pesakit-pesakit yang tidak henti-henti datang ke rumahnya secara tidak langsung telah membiasakan diri Tuan Guru dalam dunia pengubatan, biarpun umur Tuan Guru ketika itu masih terlalu mentah. Ayahandanya merupakan perawat yang disegani di kalangan masyarakat kampungnya, juga kampung-kampung di sekitarnya. Kejayaan ayahandanya mengubati orang gila, orang dirasuk hantu dan juga penyakit-penyakit kronik yang lain telah menimbulkan rasa kagum Tuan Guru terhadap ayahandanya.
Kehebatan ayahandanya itu sedikit demi sedikit telah melahirkan keinginan untuk mengikuti jejak langkah ayahandanya, yang secara tidak langsung melahirkan keinginan untuk mempelajari ilmu tersebut.  Antara peristiwa- peristiwa yang menyemarakkan keinginan Tuan Guru untuk mempelajari Ilmu Perubatan Islam adalah ketika mana ayahandanya berjaya mengubati pesakit yang mengadu sakit gigi dan gusi dengan hanya menggunakan kayu, tukul dan paku. Biarpun usianya ketika itu terlalu muda, namun beliau menyedari bahawa disamping penggunaan bahan-bahan tertentu, ayahandanya banyak menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa untuk merawat pesakit. Pada pandangan Tuan Guru, kejayaan-kejayaan tersebut begitu menakjubkan dan mengkagumkan.
Selain peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekitar rumah, Tuan Guru juga dapat menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri peristiwa peristiwa yang dianggapnya sebagai misteri. Pernah juga Tuan Guru menemani ayahandanya yang dijemput untuk merawat pesakit yang disampuk hantu yang menyebabkan pesakit itu meracau dan tidak sedarkan diri. Ketika ayahandanya tiba, pesakit itu menjadi diam secara tiba-tiba. Keadaannya yang begitu bengis dan tidak tentu hala hilang sama sekali seumpama adanya satu kuasa yang ditakuti untuk berbuat demikian. Peristiwa seperti ini bukan hanya sekali terjadi, bahkan berkali-kali. Beliau kerap dibawa untuk menemani ayahandanya merawat pesakit. Terdapat pesakit yang mengamuk menjadi diam dan terus reda dan akhirnya sembuh dengan sendiri sebaik sahaja ayahandanya tiba. Ada “pesakit” yang terus meminta ampun dan berjanji tidak akan datang menganggu lagi. Ada ketika, ayahanda Tuan Guru hanya menghalakan tangannya ke arah pesakit, menyebabkan pesakit menjadi sedar dan pulih seperti sediakala.
Kejayaan ayahandanya dalam merawat pelbagai jenis penyakit yang luar biasa, akhirnya menjadi satu pengalaman yang biasa baginya. Kejayaan ayahandanya dalam merawat pelbagai jenis penyakit yang luar biasa, akhirnya menjadi satu pengalaman yang biasa baginya. Namun, diketika itu Tuan Guru tidak berpeluang untuk menyatakan keinginannya untuk mempelajari ilmu yang dimiliki oleh ayahandanya. Setelah dirasakan dirinya meningkat dewasa, Tuan Guru telah meminta agar ayahandanya mengajarkan ilmu yang dimiliki. Ketika itu umur Tuan Guru masih dalam lingkungan belasan tahun, iaitu ketika sedang menuntut di Sekolah Arab Alawiyah.

Biarpun Tuan Guru sering diajak menjadi teman ketika merawat pesakit, namun ayahandanya tidak begitu mudah untuk mengajarkannya ilmu yang dimiliki. Sebaliknya ayahanda Tuan Guru berpesan supaya beliau mempelajari ilmu agama terlebih dahulu. Walaupun cubaan awal Tuan Guru untuk menuntut ilmu daripada ayahandanya gagal, namun Tuan Guru tidak berputus asa. Setelah beliau meningkat dewasa, ayahandanya mula mengajarkannya ilmu tersebut iaitu ketika beliau berada di tahun akhir pengajian sekolah menengah. Ketika itu, pengajaran yang diberikan oleh ayahandanya hanya merupakan ilmu asas pengubatan sahaja.

Ilmu yang dimiliki oleh ayahandanya boleh dikatakan luas, yang terdiri daripada penggunaan ayat-ayat Al-Quran, hadis, doa-doa dan jampi-jampi yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Ayahandanya mempunyai sebuah manuskrip tulisan tangan yang mengandungi catatan-catatan berkaitan dengan ilmu rawatan. Manuskrip tersebut dimulai dengan doa tahlil yang diamalkan oleh kebanyakan orang pada hari ini. Kemudian disambung dengan cara-cara berdoa dan cara membaca tahlil yang akhirnya diikuti dengan penerangan ayat-ayat Al-Quran yang digunakan untuk rawatan. Di antara ayat-ayat Al-Quran yang tertulis dalam manuskrip itu ialah seperti ayat-ayat dari surah Al-Hashr (21-24), Yunus (82 - 8), Al-Mu'minun (117 -118) dan lain- lain lagi.
Sesetengah daripada ayat-ayat yang tercatat di dalam manuskrip tersebut tidak dapat difahami kegunaannya kerana tidak disertakan dengan penerangan yang terperinci, seperti ( Al~Hashr: 21-24, Yunus: 81 - 82, Al- Mu’minun: 117-118) yang mana ayat-ayat tersebut boleh digunakan untuk merawat mereka yang terkena sihir begitu juga dengan ayat-ayat lain. Bermula daripada pengajaran asas inilah ilmu yang berkaitan dengan perubatan Islam dipelajari sedikit demi sedikit. Manuskrip tulisan tangan tersebut akhirnya bertukar tangan daripada ayahanda Tuan Guru kepada beliau. Namun, manuskrip tersebut kemudiannya hilang tidak diketahui di manakah tersimpan berikutan berpindah rumah dan tempat belajar, walau demikian pengetahuan mengenai ilmu Perubatan Islam tetap diingati oleh Tuan Guru.
  
Selain itu, Tuan Guru juga pernah mengalami pengalaman semasa kecil diserang penyakit barah di celah kangkangnya. Penyakit itu amat dahsyat. Ayahanda beliau telah merawat penyakit itu sehingga sembuh. Kedahsyatan penyakit tersebut telah meninggalkan parut yang besar, yang masih dapat dilihat dengan jelas hingga ke hari ini pada diri Tuan Guru.Tuan Guru masih mengingati saat-saat beliau terlantar kerana diserang barah tersebut. Ayahanda dan keluarganya tidak merasa gusar kerana pada mereka, penyakit barah adalah penyakit biasa yang mudah diubati menggunakan kaedah rawatan Islam dengan izin Allah.
Ayahanda Tuan Guru juga merupakan pesilat yang mahir. Kombinasi ilmu silat dan ilmu perubatan membentuk keyakinan ayahandanya ketika berhadapan dengan pesakit yang agerasif termasuk orang gila, sama ada gila akibat gangguan makhluk halus atau kerana kecederaan. Biarpun asas ilmu yang dimiliki oleh ayahandanya telah diraih, tetapi sebagai murid, Tuan Guru tetap menganggap bahawa ilmu yang dimiliki oleh ayahandanya itu tidak mudah diajarkan kepada orang lain, meskipun  kepada anaknya sendiri.
Sebagai murid, Tuan Guru begitu yakin dengan dirinya biarpun beliau menyedari bahawa untuk mempelajari ilmu seumpama itu bukanlah mudah. Tuan Guru juga mempunyai keyakinan bahawa beliau boleh berkhidmat kepada mereka yang memerlukan pertolongan darinya dengan baik. Oleh sebab itu, disamping mempelajari ilmu daripada ayahanda beliau, Tuan Guru juga berazam untuk terus mempelajari ilmu yang berkaitan dengan ilmu rawatan Islam. Lebih-lebih lagi dengan adanya ramai orang yang mempunyai ilmu kaedah rawatan yang sama. Mereka terdiri daripada kaum keluarga beliau yang tinggal berdekatan rumahnya.    
Diantara peristiwa yang masih segar dalam ingatan beliau ialah ketika Ishak Din (abang kepada Tuan Guru) pulang dari sawah, pada suatu petang hari dalam keadaan dahaga. Dia telah terminum minyak tanah dalam sebuah botol yang disangkanya air. Seiuruh badannya menjadi panas manakala pernafasannya tersekat-sekat. Ketika itu ayahanda beliau tiada di rumah kerana pulang ke Pattani. Oleh sebab itu, salah seorang daripada bapa saudaranya, bernama Said bin Ali dijemput datang untuk menolong dan Tuan Guru berjaya merawat Ishak bin Din. Selain itu, Tuan Haji Zakaria bin Haji Wan Nik adalah seorang alim dan imam  masjid juga merupakan perawat yang sering datang menolong keluarganya ketika menghadapi masalah semasa ketiadaan ayahandanya.
Pernah satu ketika, ayahanda Tuan Guru sendiri telah diserang demam panas yang bersangatan, menyebabkan hampir tidak sedarkan diri dan meracau. Tuan Haji Zakaria telah datang memberi rawatan kepada ayahanda Tuan Guru. Di antara ayat-ayat al-Quran yang dibaca olehnya yang dapat didengar oleh Tuan Guru ialah ayat al-Kursi, yang kemudiannya ditiupkan ke telinga. Tiba-tiba ayahnya bertukar menjadi seolah-olah tidak sedarkan diri. Tanpa dapat dikawal, telah terkeluar dari mulut ayahandanya suara memperkecilkan kebolehan yang dimiliki oleh bapa saudaranya yang sedang memberi rawatan itu. Hal yang demikian menunjukkan adanya unsur-unsur lain yang telah meresap dan menguasai dirinya. Suara yang lahir itu sebenarnya bukan lahir daripada kemahuan diri ayahandanya. Tidak lama selepas rawatan diberikan, ayahanda beliau telah sembuh seperti sediakala.Latar belakang tersebut merupakan beberapa contoh untuk memperlihatkan bahawa terdapat banyak para perawat yang menggunakan kaedah Islam di kalangan keluarga Tuan Guru. Pada masa lapang, Tuan Guru mempelajari ilmu daripada mereka.
Ayahanda Tuan Guru berasal dari Pattani. Keluarganya banyak memiliki khazanah ilmu perubatan. Keluarga dari Patani sering datang berkunjung ke rumahnya, di Kampung Bohor Mali Perlis hingga sekarang ini. Pada suatu ketika, Tuan Guru sendiri diserang demam panas yang bersangatan dan tidak boleh bangun beberapa hari. Secara kebetulan keluarga dari Pattani ini datang berziarah seperti biasa. Ayahandanya telah memanggil salah seorang daripada mereka bemama “Pak Chu” (Tuan Guru memanggilnya Tok Chu) untuk merawatnya. Pak Chu telah datang dan merawat Tuan Guru.
Dalam sesi rawatan tersebut, Pak Chu telah menggunakan kain putih nipis (kain putih maman). Pada malam hari, semua pakaian yang ada di badan Tuan Guru telah dilucutkan. Pak Chu telah merawatnya dengan menyemburkan ubat daripada mulutnya ke seluruh badan Tuan Guru sehingga basah kuyup. Kemudian badan Tuan Guru ditutup dengan kain putih malan tadi. Selang beberapa minit, kain tadi diangkat, kemudian diselimutkan semula. Cara begini telah dilakukan olehnya berulang kali sehingga badan dan kain tersebut kering. Kemudian Tuan Guru disembur lagi dan ditutup semula seperti yang dilakukan pada mula tadi. Demikianlah yang dilakukan oleh Pak Chu sehingga menjelang subuh.
Pada keesokan harinya, Tuan Guru merasa segar. Perutnya merasa lapar dan meminta makanan dan sembuh seperti sediakala tidak lama selepas itu. Sebagai pesakit, pengalaman ini telah memberi pengajaran dan keinsafan kepadanya bagaimana deritanya seseorang itu ketika diserang demam panas. Dalam masa yang sama, bapa saudara Tuan Guru juga telah mengajarkan beberapa petua yang amat berguna. Seseorang yang hendak mandi mestilah menjiruskan air bermula daripada bahagian bawah terlebih dahulu iaitu bahagian kaki, naik ke atas ke betis, lutut, ke pinggang, bahagian badan dan akhirnya baru bahagian kepala.
Menurut Tuan Guru, petua yang diberi ini diamalkan olehnya sehingga kini. Tidak diketahui secara nyata ataupun secara kebetulan, bahawa dengan mengamalkan petua ini, beliau tidak pernah demam panas sejak Tuan Guru diserang demam ketika kecil dahulu, atau demam-demam lain, sama ada teruk atau tidak, dengan izin Allah yang maha kuasa. Kunjung mengunjung antara keluarga di Perlis dan Pattani terus menerus berlaku. Setiap kali ayahandanya pergi ke Patani, Tuan Guru sering bertanya dan berbincang pelbagai kaedah dan petua perubatan dengan saudaranya di sana. Hal yang demikian secara tidak langsung telah memberi pendedahan ilmu pengetahuan dan pengalaman kepada Tuan Guru yang sering menemani ayahandanya pada ketika  itu.
Pengalaman-pengalaman yang dilalui, yang dapat disaksikan dengan mata kepala Tuan Guru sendiri, pendidikan yang diperolehi secara langsung dan tidak langsung, dan hal-hal yang terjadi di sekeliling Tuan Guru setiap hari, sedikit demi sedikit telah menambahkan lagi rasa keinginan yang sedia wujud dalam diri untuk mendalami ilmu perubatan demi menolong orang lain. 

Seterusnya pengalaman Tuan Guru ketika belajar di luar negeri, iaitu di Mesir (1966-68) untuk mendapatkan ijazah sarjana telah mendorong dirinya untuk terus mempelajari ilmu perubatan. Banyak pelajar di Mesir menghadapi masalah, terutamanya tekanan jiwa akibat daripada masalah hidup, keadaan persekitaran yang menekan dan hal-hal lain termasuk masalah kewangan. Ketika Tuan Guru berada di sana satu kaedah rawatan yang dikenali dengan nama “hypnotism” begitu popular. Seorang lelaki benama Kamal, yang lebih dikenali dengan Dr. Kamal mengadakan beberapa demonstrasi ilmu tersebut di Rumah Melayu. Dengan kaedah ini. Dr Kamal dapat mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh seseorang, juga rahsia-rahsia lain dengan cara menidurkan orang lain. Ketika ditidurkan inilah secara fizikal ia (medium) dapat melihat apakah yang berlaku di sekelilingnya. Dalam satu demonstrasi. Dr Kamal telah meminta pen dari orang ramai, apabila orang yang ditidurkan tadi ditanya benda yang ada ditangannya, ia memberitahu dengan tepat benda tersebut, iaitu pen. Ketika ditanya wang Malaysia yang ada dalam genggamannya, orang yang berkenaan memberitahu bahawa wang yang ada ditangannya itu tidak pernah digunakan olehnya, dan ia tidak tahu dari negeri mana asalnya.
Demonstrasi yang ditunjukkan oleh Dr Kamal itu begitu asing dan mengagumkan. Hal yang demikian menambahkan lagi keinginan Tuan Guru untuk mendalami ilmu tersebut. Secara kebetulan semasa balik ke Malaysia ia telah diperkenalkan dengan seorang perawat dari Sarawak iaitu Tuan Haji Mursidi oleh teman karibnya Tun Dato Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakob. Daripada perkenalan tersebut, telah terjalin hubungan mesra antara mereka. Haji Mursidi merupakan perawat yang mahir dengan kaedah ilmu yang hampir menyerupai dengan ilmu yang telah dipertunjukkan oleh Dr Kamal di Mesir. Beliau telah mengajar ilmu yang dimiliki dan sekali gus melatih Tuan Guru untuk melakukan kaedah tersebut.
Kombinasi daripada kaedah ilmu yang dipelajari dari Mesir, daripada Haji Mursidi dan pengetahuan-pengetahuan lain yang mempunyai persamaan itu boleh digunakan sebagai satu kaedah rawatan, tetapi kaedah menidurkan orang ini jarang digunakan olehnya kerana cara tersebut boleh menimbulkan salah faham atau tafsiran orang ramai terutamanya mereka yang tidak tahu atau tidak faham tentang pengunaan kekuatan roh dalam dunia perubatan. Mungkin ada orang yang menganggap bahawa kaedah ini sama dengan amalan menurun yang melibatkan makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada iblis dan syaitan.

Di samping mempelajari perubatan daripada kitab-kitab dan pengalaman seperti yang dijelaskan, Tuan Guru juga berjaya mendalamkan ilmunya daripada beberapa orang alim yang juga menggunakan kaedah rawatan Islam. Di antaranya ialah al- Marhum ad-Doktor Asy-Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi, seorang alim juga seorang penulis dari Malaysia yang menetap di Mesir. Beliau begitu terkenal di kalangan pelajar Melayu di Mesir. Di antara tulisan beliau yang paling popular ialah Bahru 'l-Mazi dan Kamus al-Marbawi (Arab-Melayu). Boleh dikatakan setiap orang yang mempelajari bahasa Arab mengenalinya melalui kamus karangan beliau itu.

Nama yang begitu terkenal itu telah mendorong Tuan Guru untuk menemuinya. Tuan Guru begitu mengagumi ulamak yang mempunyai nama yang begitu terkenal. Sifat tawaduknya begitu memikat hati. Beliau sentiasa merasa tenang dan selesa pada setiap pertemuan. Beliau sentiasa mengorak senyum sepanjang perbualan dan menjawab semua soalan dengan penuh keikhlasan. Setiap soalan dijawab dengan terus terang, dan akan menangguhkannya kalau ia tidak pasti.
Pemergian Tuan Guru buat kali kedua ke Mesir, iaitu ketika belajar untuk mendapatkan ijazah doktor falsafah (1971-74), telah memberi peluang kepadanya untuk bertemu dan berdampingan lebih rapat dengan Syeikh al-Marbawi. Jalinan yang telah sedia wujud sebelum itu menjadi lebih erat, lebih-lebih lagi tempat kediamannya berhampiran dengan Universiti al-Azhar, tempat Tuan Guru belajar. Di samping mempelajari ilmu perubatan, Tuan Guru juga sering berbincang dengannya tentang ilmu hadis yang sedang dikaji.
Di antara doa yang dipelajari daripadanya ialah Doa Penerang Hati. Menurut Syeikh al-Marbawi doa ini merupakan doa yang pernah dibaca oleh para salihin untuk memohon anugerah nur Allah s.w.t supaya seseorang itu mudah mendapat ilmu. Doa itu telah diturunkan dari mulut ke mulut dan diwarisi sehingga hari ini. Menurut Syeikh al-Marbawi, latar belakang doa ini ada kaitan dengan perlakuan sunnah Rasulullah s.a.w. Menurutnya lagi. As- Sunnah telah memaparkan satu peristiwa iaitu pada satu ketika Sayyidina Ali telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang kecetekan ilmunya dan kesukaran untuk mengingati ayat-ayat Al-Quran. Baginda telah membacakan Doa Penerang Hati untuk Sayyidina Ali. Akhimya Sayyidina Ali mendapat satu keyakinan diri, hasil daripada ilmu yang diperolehi juga hafalan yang mudah.

Dalam satu peristiwa lain, Abdullah bin Abbas juga pernah mengadu kepada baginda tentang masalahnya untuk menghafal hadis-hadis dan ayat-ayat Al-Quran. Baginda telah membacakan doa tersebut untuknya, sambil meletakkan tangannya di atas dada Abdullah sambil membaca doa agar Allah s.w.t memberi pemahaman dan kecerdasan yang lebih untuk mentafsir ayat-ayat Al-Quran. Selain dua orang sahabat ini, ada juga anak kecil yang dihadapkan oleh penjaganya kepada baginda agar didoakan dengan Doa Penerang Hati. Iktibar daripada sunnah ini menunjukkan bahawa membacakan Doa Penerang Hati untuk seseorang merupakan satu cara yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w untuk tujuan yang dijelaskan.

Selain berguru dengan Syeikh al-Marbawi, Tuan Guru juga pernah berguru dengan seorang lelaki, bernama Asy-Syeikh Muhammad Bayumi. Beliau adalah seorang alim yang selalu berada di Masjid al-Azhar. Perkenalan yang bermula di masjid ini telah menjalin kemesraan di antara mereka yang akhirnya bertukar menjadi perhubungan antara murid dengan guru.
Seorang perawat lain yang sempat ditemui, yang dianggap sebagai banyak ilmunya, tetapi tidak mendalami ilmu agama ialah seorang lelaki bernama Basuni Ahmad Basuni. Beliau tinggal di Raudah al-Minyal, di sebuah rumah di pertengahan jalan antara tempat tinggal Tuan Guru dengan kuliah yang dihadiri untuk membuat ijazah sarjana. Beliau sering memberi salam setiap kali Tuan Guru melintasi hadapan rumahnya. Perkenalan ini akhirnya telah bertukar menjadi jalinan antara murid dengan guru. Beliau merupakan perawat yang merawat pesakit dengan menggunakan sebahagian daripada ilmu yang bercanggah dengan ajaran Islam. Beliau kadang-kadang menggunakan azimat dan tangkal ketika merawat sambil menyeru nama-nama jin. Ketika memakainya nama jin mesti disebut, seperti Janul Ayn, Janul Ala’, Janul Abas dan lain-lain lagi. Beliau pernah menawarkan diri untuk mengajar ilmu yang berkaitan dengan jin ini. Sejak dari hari itu, Tuan Guru berhenti belajar dengannya. Sebarang amalan yang melibatkan atau merapatkan diri dengan jin perlu dihindarkan.
Ketika di Mesir juga, iaitu di awal tahun 70-an, Tuan Guru sempat berkenalan dengan Bapak Mokhtar Lintang. Pertemuan kerap dilakukan, terutamanya ketika tenaga Pak Mokhtar diperlukan iaitu untuk merawat pesakit. Pak Mokhtar adalah seorang perawat  yang menggunakan kaedah Islam. Banyak ilmu yang diperoleh daripadanya. Selain alim, beliau adalah seorang yang berbudi mulia dan tidak lokek ilmu. Beliau akan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan, tanpa mengira tempat. Ternyata bahawa beliau amat mudah menyalurkan ilmu pengetahuannya kepada orang lain. Kesempatan ini telah diambil oleh Tuan Guru untuk menimba ilmu seberapa banyak yang boleh, sebagai tambahan kepada ilmu yang sedia dimiliki Tuan Guru.

Satu peristiwa yang menarik, yang perlu dirakamkan telah berlaku ketika beliau telah balik di Malaysia, iaitu setelah pindah dari Kuala Lumpur ke Taman Bangi, Kajang. Pada satu hari Tuan Guru telah dikunjungi oleh seorang lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai ‘Pak Leh’ yang datang dari Langkawi. Beliau kelihatan begitu peramah dan banyak bercakap dengan telor Kedah. Tanpa diperkenalkan oleh orang lain, dia mendakwa sebagai seorang bomoh yang terkenal di Langkawi. Kalau ada orang yang tidak mengenalinya, ini membuktikan bahawa orang yang berkenaan bukan dari Langkawi. Yang penting sekali dia menemui Tuan Guru ialah untuk mengajarkan beberapa jenis rawatan. Di antaranya ialah ilmu yang berkaitan dengan barah, ketumbuhan otak, kayap, demam panas, penyakit kulit dan lain-lain kaedah rawatan yang amat berguna. Beliau telah tinggal bersama-sama Tuan Guru untuk beberapa ketika.
Daripada pertemuan ini, hubungan mereka menjadi rapat dan lebih mesra. Kunjungan tersebut kemudiannya disusuli dengan kunjungan-kunjungan yang lain. Untuk memastikan tentang diri Pak Leh, Tuan Guru telah pergi ke Langkawi. Setibanya di Kuwah, beliau telah bertanya kepada seorang lelaki yang sedang berada di perhentian teksi tentang Pak Leh. Lelaki berkenaan menyatakan yang Pak Leh tidak ada di Kuah buat masa itu. la berada di Padang Mat Sirah. Temannya yang lain mengatakan yang ia berada di Terengganu atau di Kelantan. Daripada jawapan-jawapan yang diberikan dapatlah difahami bahawa Pak Leh ini mempunyai banyak isteri. Beliau memang dikenali di Pulau Langkawi. Biarpun apa corak latar belakang Pak Leh ini, Tuan Guru banyak mempelajari ilmu perubatan darinya. Namun demikian, tidak semua ilmu yang diajarkan itu diterima begitu sahaja dan diamalkan.
Latar belakang ilmu pengetahuan agama yang dimiliki oleh Tuan Guru merupakan penapis yang paling berguna dan berkesan, yang sekali gus boleh dijadikan pengukur. Hanya ilmu yang ‘lulus’ sahaja boleh (diamalkan. manakala yang tidak ‘lulus’ dibuang dan disisihkan daripada ingatan buat selama-lamanya. Jauh sekali hendak mengajarkan ilmu tersebut kepada orang lain. Pak Leh meninggal dunia tidak lama selepas itu. Perlis memang mempunyai ramai orang yang arif tentang ilmu perubatan Melayu, sama ada yang menggunakan jampi mentera, bahan-bahan tumbuhan juga rawatan Islam. Ini termasuk seorang perawat bernama Tok Omar yang lebih banyak menggunakan bahan-bahan tumbuhan, disamping ayat-ayat Al-Quran juga petua-petua. Daripada Tok Omar ini, Tuan Guru memperoleh ilmu yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan.
  
Selain itu, Tuan Guru juga mempelajari ilmu daripada datuk saudara isterinya bernama Tahir bin Abdullah. Beliau dikenali sebagai “bomoh bola” yang terkenal. Tugasnya yang utama ialah untuk menjaga pasukan bola sepak kampung Jelepuk. Ketika pasukan ini berlawan, beliau akan pergi berjalan mundar mandir bersama-sama pasukan itu. Setiap kali beliau kelihatan berjalan mundar mandir berhampiran pintu gol pasukan Kampung Jelepuk, orang ramai kononnya akan berkata, "Kalau Tok Khiak dah jalan depan gol, jangan harap bola akan masuk". Namanya memang terkenal sebagai “bomoh bola”. Namun demikian biar apapun gelaran yang diberi, beliau amat gemar menolong orang lain. Darinya Tuan Guru mempelajari ilmu yang amat berguna termasuk ilmu yang berkaitan dengan pengantin.
Yang penting sekali, ketika berlaku kejadian-kejadian buruk di rumah Tuan Guru (di kampung), dan tidak dapat dikawal, Tok Lang Kiang (gelaran kepadanya) inilah yang datang mengubat dan mententeramkan keadaan. Banyak ilmu yang dimiliki olehnya, terutamanya ilmu mengeluarkan sampah dari mata dan sebagainya. Setiap kali balik ke kampung dan mempunyai masa lapang, Tuan Guru akan pergi ke rumah-nya untuk belajar, begitu juga dengan isterinya yang dipanggil Tok Lang Teh yang secara kebetulan begitu terkenal sebagai bomoh pengantin perempuan, mak andam dan seorang pengubat yang disegani.
  
Daripada kedua-dua orang tua ini, Tuan Guru cuba mencungkil ilmu perubatan yang mereka miliki, terutamanya perkara-perkara yang berkaitan dengan rawatan Islam. Secara kebetulan pula, pada pasangan ini memang tidak ada rahasia perubatan yang hendak disembunyikan. Pernah Tok Lang Kiang ini mengajar Tuan Guru dengan menafsirkan ayat lyyaka na’budu wa iyyaka nasta'in berjam-jam lamanya. Tafsir ayat ini telah diajarkan kepadanya daripada awal hingga akhirnya, iaitu tentang makna, istinbat ayat dan hukum-hukum yang perlu diikuti. Setelah tamat menghuraikan tafsiran ayat tadi, barulah ia menerangkan hikmat al-Fatihah.

Terlalu lama rasanya tafsiran yang diberinya itu, tetapi sebagai murid yang sedang tunduk berguru, Tuan Guru perlu duduk mendengar dengan minat yang dipaksa. Kadang-kadang timbul rasa semacam satu pertanyaan, menggambarkan seolah-olah dirinya, yang sedang diajar oleh Tok Lang Kiang itu bukan seorang yang mempunyai latar belakang agama, yang pernah belajar di Mesir bertahun-tahun lamanya. Namun demikian, di sebalik perasaan seumpama itu, timbul satu keinsafan bahawa dalam hubungan menuntut ilmu, seseorang itu perlu mempelajarinya dari awal hingga akhir. Adalah tidak sempurna andainya seseorang itu mempelajari sesuatu ilmu dengan mengambilnya bahagian-bahagian tertentu sahaja. Tidak ada jalan singkat untuk menuntut ilmu. Lebih-lebih lagi ilmu perubatan. Sebaliknya, apabila seorang guru itu berhadapan dengan muridnya, tidak kira sama ada murid itu sedikit atau banyak bilangannya, guru mesti mempunyai rasa keyakinan diri, dan tidak perlu menganggap muridnya lebih pandai daripadanya, biarpun pada hakikatnya memang ada di antara murid itu mempunyai ilmu yang lebih tinggi. Dengan cara demikian, akan lahir penghormatan dari seorang murid kepada gurunya, begitulah sebaliknya.

Seorang tua yang terkenal di sekitar Jelampung dan Kuding Kedah, yang dikenali dengan Tok Wa Jidah juga mempunyai ilmu rawatan yang unik. Orang tua ini begitu mesra dengan kak Jah (isteri Tuan Guru). Kak Jah pernah melihat Tok Wa Jidah mengeluarkan jarum daripada badan seorang pesakit. Malangnya, ia telah meninggal dunia sebelum sempat ilmu itu dituntut. Walaupun demikian, ilmunya itu sempat diperturunkan kepada adiknya Haji Noh (dikenali dengan nama Pak Andak Noh). Beliau telah dapat ditemui ketika dalam keadaan uzur. Setelah memberitahu hasrat kedatangannya, iapun mengenakan syarat-syarat tertentu untuk berguru, termasuk memberi pengeras. 
Di samping ilmu rawatan mengeluarkan jarum, Pak Andak Noh juga mengajar bagaimana hendak mengeluarkan benda-benda tajam daripada badan manusia, seperti besi tajam, kaca serpihan akibat kemalangan, termakan benda tajam, terkena bisa, racun, santau dan sebagainya. Seorang perawat lain yang menjadi tempat rujuk Tuan Guru ialah seorang tua yang terkenal di sekitar kawasan Arau, Hutan Kandi dan Jelempuk. Beliau lebih dikenali dengan nama Tuk Chin. Nama sebenamya ialah Haji Husin. Beliau menjadi tumpuan orang di ka­wasan sekitarnya dan dari luar negeri Perlis. Setelah beberapa lama mendampingi beliau, Tuan Guru mendapati bahawa ilmu yang diamalkan olehnya itu adalah ilmu ladunni. Ilmu ini merupakan anugerah dari­pada Allah s.w.t yang dikhususkan kepada orang-orang tertentu sahaja. Ilmu ini asalnya daripada Allah s.w.t yang diberi kepada nabi Hidir a.s, yang cuba dipelajari oleh Nabi Musa. Nabi Musa telah mendapatkan ilmu tersebut daripada nabi Hidir. Berdasarkan peristiwa ini, seseorang itu boleh mempelajari ilmu tersebut biarpun ia asalnya dari anugerah Allah s.w.t.
Lebih jelas diperkatakan bahawa ilmu ladunni ini merupakan ilmu daripada Allah s.w.t yang diperolehi tanpa proses pembelajaran khusus. Hal demikian berbeza dengan ilmu yang dimiliki oleh Tuan Guru sendiri, yang dituntut daripada guru-guru yang benar-benar dikenali olehnya. Haji Husin sendiri mengakui hal yang demikian, dan menyatakan beliau tidak mempunyai guru yang berkaitan dengan ilmu perubatan. Kata-kata seperti 'Tuk Guru" yang merujuk atau memanggil bapa mertua Tuan Guru (Haji Saleh) bermaksud merujuk kepada ilmu agama yang dipelajari darinya yang tidak berkaitan dengan ilmu rawatan.
Haji Husin seorang ‘abid yang menghabiskan masanya dengan menghampirkan diri kepada Allah s.w.t. Beliau merasa senang dan rela dengan keadaan yang sedemikian rupa. Berkaitan dengan ilmu peru­batan yang dilakukan, beliau kadang-kadang didatangi oleh orang yang mengajar doa-doa bagi penyembuhan penyakit tertentu. Kadang-kadang ia mendengar suara dari atas, mengajarnya dan cara-cara lain yang mungkin dianggap ganjil oleh orang yang tidak memahami kaedah pembelajaran seumpama itu. Beliau bukan seorang yang terpelajar dalam bidang agama. Malah beliau tidak mengerti bahasa Arab. Biarpun bacaan-bacaan yang digunakan dalam perubatan terdiri daripada doa-doa, tetapi maknanya tidak diketahui atau difahami olehnya. Namun demikian, doa-doa yang dibacanya itu bersesuaian dengan jenis-jenis penyakit tertentu yang dirawatnya.
Contoh seperti Doa Pelaris ataupun Doa Murah Rezeki. Ketika ditanya doa yang berkenaan, dengan sepontan beliau mengajarkan suatu doa. Apabila ditanya tentang maknanya, beliau menjawab, "Pak Cik tak mengaji Arab. Syeikh tolong beritahulah!”. Jawabnya mudah. Beliau membahasakan Tuan Guru dengan panggilan “Syeikh”. Satu panggilan kepada orang-orang tua yang alim.
Apabila doa yang dibacanya diterjemahkan Tuan Guru, beliau kelihatan seumpama terperanjat. Maknanya memang menepati keperluan sesuatu tujuan. Peristiwa yang berlaku itu hanya merupakan satu contoh sahaja. Banyak contoh lain yang memperlihatkan keistimewaan Haji Husin ini, yang mendapat ilmu ladunni daripada Allah s.w.t Beliau sebenarnya seorang yang mempunyai masalah pendengaran, tetapi peliknya boleh mendapat doa-doa yang digunakan untuk rawatan. Hal demikian membuktikan bahawa pengetahuan yang diperolehi itu tidak semestinya melalui pendengaran.
Berhampiran dengan rumah bapa mertua Tuan Guru, seorang lelaki tua (bapa saudara sepupu Kak Jah), bernama Haji Ibrahim Abas juga seorang bomoh yang disegani. Beliau hidup dengan memberi khidmat kepada orang ramai, terutamanya untuk merawat sakit akibat disampuk makhluk-makhluk halus, sama ada daripada gangguan pelesit, hantu raya dan jenis-jenis iblis dan syaitan yang lain. Mereka yang membela pelesit amat takut kepadanya. Daripadanya Tuan Guru banyak meraih ilmu yang berkaitan dengan hantu pelesit.
Daripada latarbelakang yang dijelaskan ini, ternyata bahawa keluarga Tuan Guru, sama ada daripada sebelah emak atau ayahnya, daripada keluarga sebelah isteri, sebelah emak juga ayahnya menunjukkan bahawa mereka merupakan kumpulan manusia yang mewarisi himpunan atau adunan pengetahuan rawatan Islam juga kaedah tradisional. Bagi diri Tuan Guru sendiri, beliau lebih menumpukan cabang rawatan Islam, satu kaedah rawatan yang asalnya diambil daripada syariat Allah yang maha suci.
Perubatan Islam Ini asasnya diambil daripada syariat. Ilmu ini mempunyai dua cabang, iaitu fizikal juga spiritual. Kaedah perubatan Islam telah diteroka oleh Rasulullah s.a.w untuk diajarkan kepada umatnya. Penekanan yang menjadi keutumaan Tuan Guru ialah cabang yang kedua, iaitu kaedah rawatan yang menggunakan bacaan-bacaan dan doa-doa, berasaskan sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

“Hendaklah kamu gunakan dua kesembuhan, iaitu al-Quran dan madu.”
Maksud al-Quran, seperti yang tersebut dalam hadis ini ialah merujuk kepada cabang rawatan yang menggunakan bacaan, doa-doa, bermunajat kepada Allah s.w.t. dan lain-lainnya. Manakala yang dimaksudkan madu itu ialah kaedah rawatan fizikal yang termasuk dalamnya penggunaan bahan-bahan tertentu seperti manisan lebah, akar-akar kayu, susu, tamar, air zamzam dan lain-lain lagi.
Kaedah rawatan fizikal ini telah diteroka oleh ramai orang sejak dahulu kala lagi seperti Ibnu Sina yang telah menghasilkan buku yang bertajuk Al-Qanun Fi ‘t-Tibb, yang dipenuhi dengan pengubatan fizikal, ala alopati. Ulamak mutakhir pula banyak menghasilkan kaedah rawatan yang menggunakan bacaan, seperti At- Tibb an-Nabawi oleh Ibn al-Qayyim dan At-Tibb Ar-Rohani, dan buku oleh As-Sayuti, At-Tibb Wa 'r-Rahmah, Zadu ‘l-Ma’adfi Hadyi Khayri ‘l-'lbad. Selain kitab yang disebutkan di atas, banyak lagi buku yang telah ditulis oleh ulamak mutahir seperti kitab-kitab yang bertajuk At-Tibb al-Islamiy, At-Tadawibi ‘ l-Quran, Al-I’jaz At-Tibb Fi ‘l-Quran, Fi Rihabi t-Tibbi ‘n-Nabawi, dan lain-lain lagi, yang kesemuanya menjurus cabang bacaan dengan cara khusus untuk rawatan pesakit. Inilah kaedah yang dipelajari oleh Tuan Guru dan diamalkan untuk pesakit juga yang diajarkan kepada orang lain. Cabang ilmu yang dimiliki inilah, sama ada yang dipelajari daripada guru-guru, yang sebahagian besarnya telah dijelas di dalam buku ini, dan diperolehi dan yang digunakan olehnya sebagai satu kaedah rawatan kese­muanya dinamakan Pengubatan/Rawatan Islam.

_______________________________________________________________

Iklaneka

Jualan buku karya ulama tersohor. 2 buah buku yang sangat bernilai ini seharusnya anda miliki. Menggabungkan antara kaedah dan hujahan menjadikan ia sangat berguna kepada semua. Selain dalil dan nas yang dikemukakan, kaedah/teknik merawat turut diajar bagi memastikan pembaca betul-betul memahami isu ini. Hubungi segera untuk dapatkan buku ini


Mengenali Tokoh Utama Darussyifa' - TG Dr Haron Din Mengenali Tokoh Utama Darussyifa' - TG Dr Haron Din Reviewed by dsbbst on 11:06 Rating: 5

3 comments:

  1. ketaqwaan juga antara satu faktor penting yang mempengaruhi proses kesembuhan dalam rawatan Islam.

    ReplyDelete
  2. Semua bomoh gurunya. Tok cha, hipnosis, guru silat, mak andam. Boleh ke....

    ReplyDelete

Powered by Blogger.